|
Repair
Tracker kesan pembaikan kereta
Berita Harian (Berita Komputer) - Jan 31,
2005
PAC Total Solutions Sdn Bhd (PTS), membekal
perisian Repair Tracker kepada PanGlobal
Insurance Bhd (PGI) yang membolehkan syarikat
ini melaksanakan sistem pengesanan pembaikan
kereta secara elektronik.
Pengarah urusannya, Steve Miller, berkata
sistem perisian Repair Tracker membolehkan
PGI mengesan kerja bengkel dengan memantau
masa diambil untuk pembaikan kenderaan pemegang
polisi mereka.
"Ia juga akan mengesan bilangan kenderaan
yang dibaiki pada sesuatu masa, dan nilai
anggaran yang diberikan oleh bengkel bersama
senarai alat yang diganti dengan kemas kini.
"Pemilik kenderaan boleh mengesan
proses pembaikan secara online dan tepat
masa, dan tahu mengenai masa yang tepat
bila kereta mereka akan sedia untuk diambil
semula," katanya di Kuala Lumpur,
baru-baru ini.
Repair Tracker ialah sistem pengesan kerosakan
kenderaan yang dibangunkan di negara ini,
mengukur masa kitaran yang diambil untuk
menyiapkan kerja pembaikan melalui BodyNet,
sistem pengurusan bengkel yang akan menghasilkan
anggaran dan berikutnya kad kerja dan invois.
Selain itu, kakitangan bengkel boleh menggunakan
Repair Tracker untuk memperbaiki perkhidmatan
pelanggan mereka dengan meningkatkan ketelusan
proses pembaikan, memastikan pelanggan tahu
status sebenar pembaikan bersama senarai
harga alat ganti.
Miller berkata, syarikat itu yakin terhadap
mempertingkatkan piawaian bengkel dengan
menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT).
Menerusi syarat perjanjian dengan PGI,
bengkel yang menyertai akan ditawarkan sistem
BodyNet untuk mengendalikan bengkel mereka.
Peringkat setiap kerja pembaikan dicatat
dan dibekalkan kepada PGI untuk analisis,
yang membolehkan pembayaran bagi bengkel
dipercepatkan dengan lebih cekap.
©New Straits Times (M) Berhad
|